Sukar Ganti Peranan Selat Melaka Sebagai Laluan Perdagangan Global

Projek jambatan darat di Thailand mungkin penting buat negara berkenaan tetapi belum terjamin dari segi keselamatan dan keyakinan pelabur apabila barangan mereka merentasi laluan berkenaan.

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Cadangan Thailand untuk membina jambatan darat bagi memintas Selat Melaka dilihat sebagai satu usaha ‘strategik’ untuk mempercepatkan pergerakan barangan antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

Namun begitu, cadangan berkenaan dijangka tidak memberi kesan besar terhadap kedudukan Selat Melaka sebagai laluan perdagangan global utama sejak sekian lama sehingga kini.

Bukan mudah menggantikan peranan Selat Melaka yang beratus tahun menjadi nadi perdagangan dunia malah sukar untuk digantikan sepenuhnya walaupun ada usaha sedemikian cuba dilaksanakan.

Adalah sukar menggantikan peranan utama Selat Melaka walaupun jambatan darat dibina di Thailand dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Selat Melaka merupakan antara laluan maritim paling sibuk di dunia, mengendalikan sebahagian besar perdagangan antarabangsa termasuk penghantaran minyak, gas, dan barangan dagangan utama dari Eropah ke Asia Timur.

Infrastruktur pelabuhan yang lengkap di sepanjang selat ini seperti di Malaysia dan Singapura menjadikannya pilihan paling efisien dari segi kos dan masa bagi syarikat perkapalan global.

Sebaliknya, projek jambatan darat Thailand memerlukan pemindahan kargo dari kapal ke darat dan kemudian kembali ke kapal, yang secara tidak langsung meningkatkan kos logistik serta risiko kelewatan.

Para pelabur dan penganalisis ekonomi turut melihat faktor keselamatan, kestabilan politik, dan kemudahan navigasi turut menjadikan Selat Melaka kekal relevan berbanding menempuh kawasan konflik di selatan Thailand.

Laluan ini telah lama diiktiraf dan digunakan oleh komuniti maritim antarabangsa, sekali gus mewujudkan ekosistem perdagangan yang kukuh dan saling bergantung.

Walaupun jambatan darat Thailand mungkin menawarkan alternatif kepada laluan sedia ada, ia lebih berfungsi sebagai ‘alternatif’ dan bukan pengganti.

Walau apa sahaja cadangan dari Thailand tidak dapat menggantikan peranan strategik, kecekapan logistik dan kepercayaan industri terhadap laluan Selat Melaka yang lebih stabil dari segi keselamatan dan keyakinan pemilik kapal serta ejen insurans berbanding menggunakan jambatan darat yang belum tentu terjamin kebolehpercayaannya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *