MB NS Panggil Mesyuarat Tergempar Jam 3 Petang Ini

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengadakan lawatan ke SMK Pasir Panjang, Port Dickson pada 27 April 2026. Foto Facebook Aminuddin Harun
SEREMBAN, 27 Apr – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memanggil satu mesyuarat tergempar di kediaman rasminya pada jam 3 petang ini bagi membincangkan langkah seterusnya susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Sumber media melaporkan Aminuddin – yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri – mengarahkan semua 17 ADUN daripada gabungan itu untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
DAP Negeri Sembilan, yang memegang 11 kerusi negeri, bakal mengadakan mesyuarat berasingan di pejabat parti pada jam 2 petang namun dijangka akan menyertai mesyuarat bersama Aminuddin sejam selepas itu.

Kemelut politik itu tercetus selepas Umno Negeri Sembilan pagi ini mengumumkan penarikan balik sokongan terhadap Menteri Besar dari KEADILAN itu.
Pengerusi Umno negeri, Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh semua 14 ADUN Umno, termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Hasan yang juga ADUN Rantau atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis diraja yang melanda negeri itu minggu lepas.
Dia berkata satu surat rasmi akan diserahkan kepada speaker dan setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas sidang media pagi tadi namun tiada perkembangan lanjut setakat ini.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan sebanyak 19 kerusi majoriti mudah diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri, manakala PH ketika ini memegang 17 – bermakna penarikan diri Umno sudah cukup untuk menumbangkan pentadbiran itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

