Tiada Keperluan Bubar DUN, Pentadbiran Kerajaan Berjalan Seperti Biasa – MB NS

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta pemimpin PH negeri mengadakan sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seremban pada 27 April 2026.
SEREMBAN, 27 Apr – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepadanya pagi tadi.
Pada sidang media di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini, Aminuddin menjelaskan sudah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Baginda katanya, menitahkan supaya pentadbiran semasa diteruskan seperti biasa.

“Kita akan jalankan pentadbiran kerajaan (negeri) sedia ada sehingga ada keputusan jelas. Saya akan teruskan tugasan (sebagai Menteri Besar),” katanya turut memaklumkan pentadbiran negeri akan terus berjalan sebagai kerajaan minoriti.
Buat masa ini, katanya belum ada rancangan untuk bertemu ADUN BN bagi melerai konflik yang berlaku walaupun kerajaan yang dibentuk merupakan persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023.
Turut sama hadir pada sidang media, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta pemimpin PH negeri termasuk kesemua 17 ADUN PH.

Aminuddin turut melihat tiada keperluan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan buat masa ini.
Beliau yang terkejut dengan tindakan ADUN Umno dan BN menarik sokongan terhadapnya hari ini, menjelaskan tiada pandangan dilontarkan mana-mana pihak yang menyatakan keperluan ke arah pembubaran DUN.
“Buat masa ini belum ada pandangan seperti itu (mencadangkan pembubaran DUN),” katanya
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
