Subsidi Bersasar Akan Diteruskan, SARA Akan Ditambah Baik Dalam Belanjawan 2026

Bantuan secara ‘one-off’ bagi seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerusi SARA pada 31 Ogos 2025 dijangka akan ditambah baik menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.

KUALA LUMPUR, 2 Sep – Berikutan sambutan hangat daripada 1.7 juta rakyat setakat ini, ekoran kejayaan pemberian bantuan secara ‘one-off’ Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 pada 31 Ogos lalu, Kerajaan MADANI akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem subsidi bersasar sebagai langkah mengurangkan beban fiskal negara dan menambah baik kemudahan asas untuk rakyat, termasuk sekolah dan klinik.

Ini termasuk SARA yang akan ditambah baik dalam Belanjawan 2026 yang dijangka dibentangkan 10 Oktober depan dengan memberi tumpuan kepada pengagihan bantuan secara bersasar dan menyeluruh kepada rakyat yang layak.

Belanjawan 2026 juga dijangka membawa pelbagai berita baik untuk rakyat termasuk tambahan nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara.

Seramai 1.7 juta rakyat telah menikmati pemberian secara ‘one-off’ SARA sehingga 1 September 2025 melibatkan nilai RM110 juta.

Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata aspek bantuan kepada rakyat sentiasa wujud dalam corak belanjawan Kerajaan MADANI sebelum ini tanpa mengira faktor politik.

“Jadi, sama ada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) semakin hampir atau tidak, inisiatif memperkukuh ekonomi rakyat tetap akan ada, sejajar usaha menaikkan lantai kerangka Ekonomi MADANI dan kini Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan tersebut membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada infrastruktur rakyat pada masa akan datang.

Katanya, sebagai contoh penyusunan semula subsidi tarif elektrik yang diperkenalkan pada Julai 2025 telah memberi manfaat kepada golongan B40, M40 serta para perusahaan industri kecil dan sederhana (PMKS) menyusun perbelanjaan dan pengurusan kos masing-masing sesuai dengan keperluan bulanan.

Bantuan kerajaan termasuk SARA bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dan kredit RM100 ini sah digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan barangan lain yang mempunyai label SARA di rak.

Ia memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan keseluruhan RM2 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pengumuman khas 23 Julai lalu.

Orang ramai mengambil kesempatan membeli barangan keperluan asas di kaunter MyKasih yang menempatkan terminal pengesahan SARA di Kuala Terengganu. Foto Bernama

Sehingga semalam, jumlah transaksi yang berjaya dilakukan ialah sebanyak RM110 juta hingga menyebabkan berlaku kesesakan dalam proses pembayaran namun kapasiti pengesahan kini ditingkatkan sebanyak 20 peratus.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *