PM Anwar Di Beijing Bertemu Presiden Xi Jinping, PM Li Qiang

Kemuncak hari ketiga lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping di Great Hall of the People pada jam 6 petang. Foto Facebook Anwar Ibrahim pada 16 April 2025

BEIJING, 2 Sep – Jadual hari ketiga lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China hari ini dimulakan dengan mengadakan perbincangan peringkat tinggi di sini untuk memperdalam hubungan strategik dan meluaskan kerjasama perdagangan.

Memulakan lawatan kerja di Tianjin, bandar pelabuhan yang tenang dengan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus pada 31 Ogos lalu, Anwar kini berada di ibu negara China itu dengan beberapa agenda utama merangkumi politik, ekonomi, kebudayaan, sains dan teknologi serta perusahaan yang boleh dimanfaatkan bersama.

Agenda utama beliau hari ini ialah mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People pada jam 6 petang, yang menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan Kuala Lumpur–Beijing yang sekian lama terjalin.

Di sela-sela Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), isteri Presiden China, Peng Liyuan (dua dari kiri) menghoskan acara menaiki bot pelayaran bagi isteri-isteri pemimpin negara menikmati pemandangan kotaraya Tianjin pada 1 September 2025. Foto Facebook Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Pertemuan ini ialah kali keempat kedua-dua pemimpin bertemu secara bersemuka selepas perjumpaan di Putrajaya bersempena dengan lawatan negara Xi ke Malaysia antara 15 hingga 17 April lepas.

Selepas itu, Anwar akan bertemu dengan Perdana Menteri China, Li Qiang untuk mesyuarat dua hala, diikuti majlis makan malam khas yang dihoskan oleh Li bagi meraikan Anwar di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, berkata majlis makan malam itu yang dianjurkan bagi pihak Xi, ialah satu-satunya majlis eksklusif yang dihoskan oleh kerajaan China untuk pemimpin yang berkunjung ke negara itu, dalam tempoh ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin, China pada 1 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Jadual padat Anwar hari ini turut merangkumi pertemuan perniagaan dengan JD.com dan China Semiconductor Industry Association (CSIA).

JD.com, ahli NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500, ialah peruncit e-dagang terbesar di China yang memberikan khidmat kepada lebih 580 juta pembeli di seluruh China.

Syarikat dipacukan teknologi ini mengendalikan infrastruktur pemenuhan terbesar di China, yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari yang sama atau keesokannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama dua konglomerat China, Rianlon Corporation dan China Communications Construction Company Limited (CCCC) semasa lawatan kerja ke China di Tianjin pada 1 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

CSIA pula ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dianggotai syarikat, pakar dan institusi yang terlibat dalam pembuatan, reka bentuk dan pembangunan berkaitan industri.

Anwar juga akan menghadiri Dialog Perniagaan dan Ekonomi Malaysia–China yang menghimpunkan 180 pemimpin perniagaan dan industri China daripada pelbagai sektor ekonomi.

Delegasi Perdana Menteri ke China kali ini diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *