SPRM Beku Beberapa Akaun Bank Persendirian Milik Seorang Tan Sri

Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 31 JanSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit.

Menurut sumber, pembekuan akaun bank berkenaan adalah susulan daripada siasatan yang dijalankan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lepas.

Sumber berkata sebelum ini, SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat seorang ahli perniagaan berusia 70-an itu serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

“SPRM juga telah selesai mengambil keterangan beberapa saksi penting yang terdiri daripada agensi kerajaan terlibat dan juga individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan fleet kenderaan kerajaan Malaysia,” kata sumber itu hari ini.

Foto Arkib

Sumber berkata lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit yang berada di bawah kawalan Tan Sri berkenaan telah dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.

Menurut sumber, daripada jumlah itu, SPRM telah membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *