PM Anwar Merafak Sembah Tahniah Sultan Ibrahim Sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-17

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (kanan) berkenan berbual bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 JanPerdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim pada Rabu melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Anwar dalam catatan menerusi laman X turut menitipkan doa kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.

“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan hari ini ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *