Kerajaan Tawarkan Pengampunan Untuk PATI Pulang Ke Negara Asal

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Putrajaya. Foto Facebook Kementerian Dalam Negeri

PUTRAJAYA, 31 JanKerajaan akan melaksanakan Program Repatriasi Migran bermula 1 Mac ini untuk memberi peluang pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini.

Katanya, menerusi program itu, PATI akan dihantar pulang selepas menjelaskan kompaun antara RM300 hingga RM500 mengikut jenis kesalahan imigresen yang dilakukan mereka.

Kesalahan yang dikenakan kompaun adalah memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).

“Mereka (PATI) akan dibenarkan pulang setelah mereka bayar kompaun dan mereka akan dikecualikan daripada proses pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Putrajaya. Foto Facebook Kementerian Dalam Negeri

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja, namun program itu tamat pada 31 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, pada masa ini masih ramai warga asing yang tinggal di negara ini tiada dokumen sah dan tidak memenuhi keperluan tenaga kerja.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing baharu sektor formal dilanjutkan.

“Ini kerana jumlah kuota yang diluluskan dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan pekerja asing.

“Pembekuan permohonan kuota telah bermula pada 18 Mac 2023 dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk membatalkan pembekuan itu memandangkan tenaga asing yang diperlukan untuk sektor penting sudah mencukupi termasuk tenaga kerja asing yang bakal diperolehi daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Selain itu, Jemaah Menteri pada mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing diwujudkan semula dan ditempatkan di KDN,” katanya.

Pada Mac lepas, Menteri Sumber Manusia mengumumkan penangguhan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA).

Dalam pada itu, katanya proses permohonan kuota kemasukan pekerja asing ditambahbaik melalui pengurangan tempoh masa proses kerja daripada 29 bulan 13 hari kepada 15 Bulan tujuh hari.

Katanya, proses kerja baharu ini akan bermula apabila permohonan kuota baharu dibuka semula kelak.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *