Sokongan Rakyat Meningkat, Kerja Keras PMX Berbaloi

Kajian terbaharu Merdeka Center mendapati sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri meningkat kepada 55 peratus berbanding 43 peratus pada Oktober tahun lalu.
MINDA NORAINI NORDIN, 26 Jun – Usaha gigih dan tanpa mengenal erti penat Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim membina semula negara sejak mengambil alih pentadbiran kini mula membuahkan hasil dan diterima positif oleh rakyat.
Ini berikutan kajian terbaharu Merdeka Center yang mendapati sokongan terhadap kepimpinannya meningkat kepada 55 peratus berbanding 43 peratus pada Oktober tahun lalu.
KEDUDUKAN EKONOMI DI LANDASAN YANG BETUL
Ia adalah peningkatan yang ketara dan membanggakan yang antara lainnya disumbangkan melalui usaha mewujudkan lebih kestabilan dalam kerajaan dengan hadirnya sokongan daripada enam Ahli Parlimen pembangkang serta kejayaan meletakkan kedudukan ekonomi di landasan yang betul.

Faktor yang menyumbang kepada peningkatan sokongan itu ialah kadar inflasi rendah iaitu pada 1.4% pada Mac 2025, pertumbuhan ekonomi positif 4.4% dalam suku pertama yang menyebabkan tekanan kos sara hidup berkurang, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan bantuan subsidi semasa musim perayaan.
Semua pendekatan yang diambil oleh PMX itu secara langsung menyebabkan rakyat gembira, selesa dan percaya masa depan negara yang lebih baik di bawah kepimpinannya.
RAKYAT PUAS HATI PRESTASI KERAJAAN MADANI
Bersekali dengan meningkatnya sokongan itu, tahap ketidakpuasan rakyat juga didapati turun kepada 48%, berbanding 58% pada tahun sebelumnya.

Persepsi rakyat mengenai hala tuju negara turut menunjukkan peningkatan positif — jumlah yang percaya negara menuju ke arah yang betul meningkat kepada 43%, sedangkan yang berpendapat sebaliknya menurun daripada 61% kepada 50%.
Berdasarkan angka-angka kajian itu, tidak syak lagi negara di bawah kepimpinan PMX sedang berada di kedudukan yang tidak perlu diubah lagi.
Dalam pada itu usaha PMX meningkatkan segala kebajikan rakyat sangat menarik perhatian dan amat disanjung tinggi.

Anwar sentiasa terbuka dan berusaha mendengar dan mengambil tindakan daripada dapatan suara rakyat.
Ruang untuk memperbaikinya juga sentiasa terbuka tanpa sikap pilih kasih.
Ini antara didorong oleh dasar kepimpinan beliau yang sedia mendengar kritikan dan memperbaiki kelemahan.
Atas dasar itu dan mengambil kira angka-angka positif daripada kajian Merdeka Center, ia seharusnya menjadi dorongan untuk rakyat terus bersama dengan Kerajaan Madani ini.

Dengan berterusannya sokongan rakyat, percayalah lebih kejayaan dan kemakmuran lain mampu dicapai lagi selepas ini.
Oleh Noraini Nordin
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
