PRN Sabah: PBS Tolak Kerjasama Dengan BN

Mesyuarat Agung Tertinggi PBS yang berlangsung di Kota Kinabalu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN 17 tidak lama lagi.
KOTA KINABALU, 26 Jun – Parti Bersatu Sabah (PBS) memutuskan menolak kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Menurut Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata pendirian itu dibuat selepas majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan BN dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Joachim berkata, PBS turut menegaskan pendirian untuk terus setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan pemerintah sedia ada pada PRN itu.
“Pendirian kita jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS dan komited terhadap kerjasama politik ini menjelang PRN itu.
“PBS turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah di bawah pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor bagaimanapun enggan mengulas sama ada bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir belum memberi respon berhubung keputusan itu namun, rundingan pembahagian kerusi ketika ini telah dan sedang dijalankan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan politik di negeri itu.
PBS memiliki tujuh kerusi dalam PRN lalu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Kundasang, Telupid, Kiulu, Tamparuli, Matunggong dan Tandek.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir pada 11 November ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

