Skandal Rasuah: SPRM Tahan Seorang Lagi ADUN

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. Foto SPRM

KOTA KINABALU, 23 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bertindak menahan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu, kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000.

Ia membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Laporan menyebut, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi tadi, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah di sini.

“Suspek yang juga merangkap Pembantu Menteri dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Siasatan juga mendapati suspek disyaki telah meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM150,000 daripada seorang individu berpangkat Datuk, kononnya untuk membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 (tanpa deposit), dengan seorang penjamin.

Suspek juga akan didakwa dalam masa terdekat.

Sebelum ini, SPRM Sabah turut menahan dua individu termasuk seorang ADUN dan juga orang awam yang dipercayai terlibat dalam siasatan kes berkenaan.

ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob ditahan pada 18 Jun lepas di pejabat SPRM Sabah di sini selepas memberi keterangan hampir empat jam.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad itu dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Azam turut memaklumkan tiga individu termasuk dua ADUN akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat berhubung dengan siasatan Op ADUN.

Beliau berkata, pihak SPRM juga dalam proses untuk menjalankan tangkapan dan memaklumkan individu terbabit mengenai tarikh untuk hadir ke mahkamah.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *