Singapura Gantung Lagi Pengedar Dadah Warga Tempatan

SINGAPURA, 22 Jul – Republik Singapura menggantung seorang lagi pengedar dadah hari ini, iaitu hukuman kelima dijalankan di negara itu sejak Mac lalu, selepas mahkamah menolak rayuan terakhir individu berkenaan.
Lelaki warga tempatan, Nazeri Lajim, menjalani hukuman gantung itu di penjara, kata perkhidmatan penjara dalam satu kenyataan kepada AFP.
Menurut agensi penguatkuasaan dadah Singapura, Nazeri, 64, disabit kesalahan memiliki 33 gram heroin ‘untuk tujuan pengedaran’ pada 2017, dengan jumlah bekalan disifatkan cukup untuk 400 penagih dadah selama seminggu.
Semalam, Mahkamah Rayuan republik itu menolak rayuan terakhir Nazeri untuk menghentikan hukuman gantung berkenaan.
Beberapa hukuman gantung yang dilaksanakan, termasuk yang dijalankan terhadap seorang lelaki bermasalah mental April lalu, mencetus gesaan supaya kerajaan Singapura memansuhkan hukuman mati di negara itu.
Namun, Singapura, yang memiliki antara undang-undang antidadah paling ketat di dunia, menegaskan hukuman berkenaan masih berkesan untuk mengawal kegiatan pengedaran dadah.

Sementara itu, pejuang hak asasi tempatan, Kirsten Han, berkata Nazeri menghabiskan kebanyakan usianya bergelut dengan masalah penagihan dadah sejak berusia 14 tahun.
“Jika kita mengambil berat mengenai keadaan individu yang menggunakan dadah, kita sepatutnya memberi sokongan bermakna dan ruang untuk pemulihan kepada Nazeri dan individu sepertinya.
“Sebaliknya, kita menjatuhkan hukuman penjara berulang kali sepanjang hidupnya,” katanya.
Hukuman mati pada Mac lalu adalah yang pertama sejak dua tahun lalu, dengan menggantung seorang pengedar dadah warga Singapura, dan aktivis bimbang lebih banyak hukuman seumpamanya dijalankan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
April lalu, penggantungan pengedar warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam mencetus kemarahan antarabangsa kerana rayuan bahawa lelaki itu memiliki masalah mental tidak diambil kira oleh mahkamah.
Dalam temu bual bersama BBC baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam, mempertahankan pendirian negara itu mengenai hukuman mati, kerana ‘terdapat bukti jelas bahawa ia berupaya mencegah pengedaran dadah’. – AFP
