Bank Pusat India Guna Rizab Tukaran Asing Sokong Nilai Rupee

NEW DELHI, 22 Jul – Bank Pusat India (RBI) menggunakan rizab pertukaran asingnya yang besar yang dikumpulkan sejak beberapa tahun untuk meningkatkan nilai mata wang rupee.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, nilai mata wang India telah mencecah rekod terendah berbanding dolar US, mendorong Bank Rizab India (RBI) membekalkan dolar tambahan.
Gabenor RBI Shaktikanta Das pada Jumaat berkata pergerakan rupee agak lancar dan teratur berikutan tindakan bank pusat itu, termasuk langkah untuk menggalakkan aliran masuk.
“Saya ingin mengulangi bahawa kami tidak mempunyai tahap tertentu untuk rupee, tetapi kami ingin memastikan evolusinya teratur dan kami mempunyai toleransi sifar untuk pergerakan yang tidak menentu dan tidak lancar.
“Dalam mengakui bahawa terdapat kekurangan sebenar bekalan forex dalam pasaran berbanding permintaan kerana keperluan import dan perkhidmatan hutang serta portfolio aliran keluar, RBI telah membekalkan dolar US kepada pasaran untuk memastikan kecairan forex yang mencukupi.
“Lagi pula, inilah tujuan kami mengumpul rizab apabila aliran masuk modal kukuh,” kata Das pada persidangan perbankan di Mumbai.

RBI menyimpan US$642 bilion dalam rizab pertukaran asing pada Oktober tahun lalu.
Rizab itu berada pada US$580.2, paras terendah dalam tempoh 15 bulan, menurut laporan mingguan RBI pada 15 Julai.
Rupee melepasi paras psikologi 80 bagi setiap dolar dalam beberapa hari kebelakangan ini dan didagangkan sekitar 79.9 berbanding dolar US pada Jumaat.
Beliau menyifatkan keadaan ekonomi global sebagai “suram” kerana faktor seperti perang Rusia-Ukraine dan pandemik COVID-19.
– BERNAMA
