‘Kita Jumpa Di Mahkamah’ – Rafizi

PETALING JAYA, 22 Jul – Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli sedikit pun tidak gentar malah telah pun bersedia membuktikan kandungan sebanyak tiga artikel tulisannya di mahkamah adalah benar, dalam saman fitnah yang difailkan bekas presiden dan CEO Sapura Energy Berhad (SEB), Shahril Shamsuddin.

Rafizi membangkitkan justifikasi dalam pernyataan pembelaan terhadap saman itu yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan undang-undang, justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan yang dibuat adalah berfakta.

Shahril yang kini menjadi presiden dan CEO Sapura Group, memfailkan saman terhadap Rafizi berhubung tidak artikel yang disiarkan di blog bekas ahli parlimen Padan itu antara 31 Mac hingga 4 April lalu.

Artikel tersebut berhubung kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan SEB – seperti yang dicadangkan bekas perdana menteri Najib Razak – serta berkenaan punca utama masalah kewangan syarikat itu.

Antara yang dibangkitkan adalah sama ada bayaran yang diterima Shahril ketika menjadi CEO SEB adalah wajar atau berlebihan.

Pada 18 Mac lalu Bernama melaporkan SEB mengalami kerugian RM8.9 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 dan tiga subsidiarinya diserahkan notis petisyen penggulungan.

Menurut salinan pernyataan pembelaan yang disiarkan, Rafizi menafikan tiga artikel tersebut mengandungi cadangan sindiran palsu.

Beliau mendakwa makna semula jadi dan biasa artikel tersebut menyentuh kontroversi yang dilaporkan media berhubung bayaran kepada pengarah eksekutif Sapura di saat syarikat berdepan masalah kewangan.

Beliau juga mendakwa tiga artikel tersebut adalah benar dari segi isi hal dan hakikatnya.


Katanya lagi, beliau tidak menyebut nama Shahril dalam hantaran dalam taliannya tetapi hantaran Najib yang didakwa menyebutnya.

“Defendan menegaskan bahawa tindakan ini adalah satu penyalahgunaan proses, merupakan satu percubaan oleh plaintif untuk menyekat perbincangan awam, komen dan/atau kritikan yang sah mengenai perkara di bawah,” jelas Rafizi.

Rafizi juga berkata beliau memiliki “tanggungjawab dan kewajipan undang-undang, moral dan sosial kepada awam untuk menyiarkan pandangan berhubung isu dihadapi Malaysia secara keseluruhan, serta isu berkenaan dengan dana awam dan tadbir urus korporat berkaitan dengan kerajaan dan/atau syarikat berkaitan kerajaan persekutuan (“GLC”) dan isu-isu membentukkan sektor korporat awam dan arena politik negara”.

Menurut pernyataan tuntutan Shahril, artikel Rafizi membayangkan dia merupakan satu-satunya punca masalah kewangan SEB dan juga kehilangan dana awam.

Dia juga mendakwa artikel tersebut membayangkan setelah dikatakan menjadi punca kepada masalah kewangan syarikat, dia didakwa mengambil jalan mudah dengan meminta bantuan kewangan daripada kerajaan.

Susulan pengurusan kes hari ini, mahkamah mengarahkan Shahril untuk memfailkan jawapan terhadap pembelaan Rafizi paling lewat 26 Ogos ini.

Sekiranya gagal atau melepasi tempoh yang ditetapkan, rakyat akan beranggapan kandungan artikel Rafizi adalah diyakini benar dan kemungkinan imej Shahril akan terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *