Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: Trump, Li Qiang Hadir, Putin Timbang Serius – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Kumpulan Ambank di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 9 September 2025. Foto Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR, 9 Sep – Situasi diplomasi berprofil tinggi tahun ini bakal disaksikan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini apabila pemimpin kuasa besar dunia bakal hadir secara serentak ke Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika pertemuan di Beijing telah menyatakan hasrat untuk hadir ke negata ini, sementara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga sebelum ini telah mengesahkan kehadirannya.
“Presiden Trump hubungi saya dan sahkan akan hadir bulan depan. Presiden Putin pula menyatakan secara terus kepada saya di Beijing bahawa beliau mempertimbangkan secara serius untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-50 Kumpulan AmBank dan makan malam perdana di sini, hari ini.
Tambahnya, lawatan seumpama itu mencerminkan kedudukan Malaysia walaupun berdepan cabaran global masa kini.
“Ini adalah masa yang mencabar. Tetapi walau apa pun, saya tetap sangat optimis kerana kita mempunyai daya tahan. Kita perlu membina dengan daya tahan ekonomi dan juga daya tahan domestik.
“Tidak ada sebab, kita tidak boleh mengatasinya kerana asas kita telah kukuh,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
