Beregu Lelaki Cemas ‘Diasak’ Wakil China

Nur Izzuddin-Sze Fei dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan China pada Terbuka Hong Kong 2025 pada 9 September 2025. Foto AFP
HONG KONG, 9 Sep – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2025.
Pada aksi pusingan pertama di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, pasangan nombor tiga dunia itu mencatat kemenangan 21-12, 11-21, 21-19 ke atas Xie Haonan-Zeng Wei Han dari China.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan yang dikenali dengan jolokan DinFei itu diramalkan tidak berdepan banyak masalah untuk menewaskan beregu nombor 27 dunia itu.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila Sze Fei-Izzuddin dipaksa bermain sehingga ke set penentuan sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh 51 minit.
Juara Terbuka India itu berjaya mengekalkan fokus, terutamanya di set ketiga ketika Haonan-Wei Han cuba mengejar sebelum melengkapkan kemenangan muktamad 21-19.
Menjelang pusingan kedua Khamis ini, Sze Fei-Izzuddin dijadualkan bertemu beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang menewaskan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat.
Berdasarkan rekod semasa, beregu negara dijangka tidak berdepan banyak masalah apabila pernah menewaskan pasangan tersebut sebanyak tujuh kali dalam lapan pertemuan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

