Serbia Tersungkur Di Belgrade

Pemain England meraikan jaringan keempat Guehi ketika membenam Serbia 5-0 dalam aksi Kumpulan K kelayakan Piala Dunia 2026 di Belgrade pada 9 September 2025. Foto Reuters
BELGRADE, 9 Sep – England kini semakin hampir layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 selepas membelasah Serbia 5-0 dalam aksi Kumpulan K.
Ketika Kane melebarkan rekodnya dengan gol ke-74 England, Noni Madueke, Ezri Konsa dan Marc Guehi masing-masing menjaringkan gol senior antarabangsa pertama. Marcus Rashford melengkapkan pesta jaringan menerusi penalti lewat permainan.
England kini mengutip 15 mata daripada lima perlawanan dan berpeluang mengesahkan kelayakan automatik sebagai juara kumpulan bulan depan.
Selepas dikritik kerana persembahan longlai ketika menang 2-0 ke atas Andorra di laman sendiri pada Sabtu, anak buah Thomas Tuchel kali ini mempamerkan aksi terbaik sejak diambil alih pengendali dari Jerman itu.

England tidak pernah tewas di Belgrade sejak tahun 1958 dan mendahului pada minit ke-33 apabila Kane menanduk masuk sepakan penjuru Declan Rice.
Tidak lama selepas itu, Madueke menambah gol kedua hasil lorongan bijak Morgan Rogers sebelum Konsa menjadikan kedudukan 3-0 tujuh minit selepas rehat.
Serbia bertambah malang apabila Nikola Milenkovic dibuang padang pada minit ke-73 kerana mengasari Kane, dan daripada sepakan percuma Rice, Guehi menyudahkan peluang untuk gol keempat.
Rashford kemudian menyempurnakan penalti selepas Ollie Watkins dijatuhkan, untuk barisan The Three Lions terus selesa dan melengkapkan dominasi dalam kumpulan K dengan 13 gol dijaringkan dan tidak bolos langsung.
England kini mendahului kumpulan dengan tujuh mata di depan Albania, manakala kekalahan pertama Serbia itu meletakkan mereka di tangga ketiga dengan tujuh mata tetapi bermain kurang satu perlawanan.
Juara kumpulan mara automatik ke pusingan akhir tahun depan, manakala naib juara akan mengharungi aksi playoff.
RIkuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

