Shamsul Iskandar Bawa Amanat PM Anwar Bantu PDRM, Bomba Dan Rakyat Sabah

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mempengerusikan Mesyuarat dan Taklimat Keselamatan Strategik Sabah di IPK Sabah yang dihadiri pengurusan kanan kontinjen. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin
KOTA KINABALU, 8 Ogos – Kunjungan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ke Sabah baru-baru ini menyaksikan beberapa pihak iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima manfaat sebaiknya bagi mensejahterakan rakyat di negeri ini.
Lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bertujuan mempengerusikan Mesyuarat dan Taklimat Keselamatan Strategik negeri selain bertukar-tukar pandangan tentang tahap keselamatan semasa.

Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah pengurusan kanan kontinjen negeri yang gembira dengan keprihatinan Shamsul Iskandar mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Difahamkan perbincangan tertumpu kepada isu-isu perumahan anggota serta kebajikan keluarga yang menghuni di kuarters kontinjen serta hal-hal pemerkasaan pasukan.

Persefahaman yang dijalin dapat ditingkatkan selaras amanat Perdana Menteri yang dibawa Shamsul Iskandar agar pasukan polis terus berkhidmat dengan cemerlang sepanjang masa.
Dalam pada itu beliau turut berkesempatan meninjau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang usai pertemuan berkenaan bagi menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri ekoran bencana banjir yang melanda tempoh hari.

Shamsul Iskandar menyerahkan replika cek bernilai RM10,000 kepada Kelab Polis IPD Penampang bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir yang merosakkan beberapa peralatan di situ.
“Saya hadir bagi mewakili YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyampaikan sumbangan kerja-kerja pembersihan pasca banjir kepada IPD dan Bomba Penampang.

“Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pasukan Bomba dan Polis yang telah berdedikasi dalam usaha membantu dan melindungi rakyat semasa bencana banjir,” katanya.
Shamsul Iskandar berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban dan memperkuat semangat juang berterusan dalam menjalankan tugas penjawat awam terlibat dalam menjaga tanah air.
PM Anwar Serah Sumbangan Kepada 138 Mangsa Terjejas Banjir Di Penampang
BBP Penampang turut dinaiki air dalam kejadian banjir pada 1 Julai lalu yang menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir selain kerugian harta benda, tanaman dan ternakan.
Pada 24 Julai lalu, Shamsul Iskandar mewakili Anwar tampil menghulurkan sumbangan kepada 138 penerima dalam satu Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir bagi warga Daerah Penampang baru-baru ini.
Beliau hadir menyerahkan sumbangan berkenaan dalam majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Penampang sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Sabah.

Menerusi hantaran di media sosial, Shamsul Iskandar berkata bencana banjir yang melanda baru-baru ini telah membawa kesan yang amat besar kepada warga Penampang.
“Mewakili YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sebanyak 138 penerima sumbangan yang berjumlah keseluruhan iaitu RM138,000 sebagai tanda sokongan Kerajaan kepada mangsa banjir yang terlibat,” katanya.
Shamsul Iskandar menambah sumbangan tersebut sedikit sebanyak diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh warga yang terjejas dalam bencana yang berlaku awal bulan lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
