PM Anwar Serah Sumbangan Kepada 138 Mangsa Terjejas Banjir Di Penampang

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Penampang baru-baru ini. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin
PENAMPANG, 24 Jul – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menghulurkan sumbangan kepada 138 penerima dalam satu Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir bagi warga Daerah Penampang baru-baru ini.
Anwar diwakili Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir menyerahkan sumbangan berkenaan dalam majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Penampang sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Sabah.
Menerusi hantaran di media sosial, Shamsul Iskandar berkata bencana banjir yang melanda baru-baru ini telah membawa kesan yang amat besar kepada warga Penampang.

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Hujan lebat yang berterusan baru-baru ini menyebabkan kawasan di sekitar Daerah Penampang dinaiki air sehingga mengakibatkan beberapa tempat di daerah ini terjejas teruk.
“Mewakili YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sebanyak 138 penerima sumbangan yang berjumlah keseluruhan iaitu RM138,000 sebagai tanda sokongan Kerajaan kepada mangsa banjir yang terlibat,” katanya.
Shamsul Iskandar menambah sumbangan tersebut sedikit sebanyak diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh warga yang terjejas dalam bencana yang berlaku awal bulan ini.

“Penampang amat dekat di hati YAB Perdana Menteri. Ingatan ini membawa kepada usaha untuk meringankan beban kepada saudara-saudara kita yang terkesan tanpa mengira latarbelakang. Inilah yang dikatakan sebagai IHSAN yang diterapkan dalam aspirasi Malaysia MADANI,” ujarnya lagi.
Pada 1 Julai lalu media melaporkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berkata mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini bertambah kepada 279 mangsa sehingga banjir surut beberapa hari berikutnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
