‘Seronok’ Bercuti Di Negara Jiran, AADK Tahan Pelajar Kantoi Ambil Dadah

Pelajar tingkatan 5 (kanan) ditahan bersama tiga rakannya dan dua individu lain selepas didapati positif dadah. Foto AADK
BUKIT KAYU HITAM, 17 Sep – ‘Keseronokan’ berhibur di negara jiran semasa cuti sekolah membawa padah apabila Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah menahan seorang pelajar lelaki tingkatan lima dalam operasi bersepadu ketika pulang bercuti dari negara jiran, semalam.
Remaja berusia 17 tahun itu yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang dan tiga rakannya yang berusia 18 tahun ditahan ketika menaiki dua motosikal.
Hasil pemeriksaan mendidapati keempat-empat mereka positif dadah jenis ketamin.
Remaja berkenaan dipercayai mengambil dadah itu dengan cara berkongsi menghisap rokok yang mengandungi bahan terlarang itu dengan tiga rakannya ketika berhibur di Thailand.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, remaja itu ditahan di lorong motosikal pada jam 3.45 petang semalam di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, ketika itu remaja terbabit dalam perjalanan pulang dari Thailand menuju ke rumahnya di Pulau Pinang selepas bercuti di negara jiran sejak Sabtu lalu.
“Hasil siasatan mendapati, remaja itu yang juga anak tunggal tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu serta bapanya bercerai sejak berusia sembilan tahun.
“Dia memberi alasan mengaku mencuba dadah terbabit disebabkan tekanan hidup dan perasaan ingin mencuba.
“Selain itu, dia juga mengaku kali kedua mencuba dadah ini ketika kali pertama masuk ke Thailand sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Khairul Anwar berkata, dalam operasi yang bermula jam 3 hingga 5 petang itu, pihaknya menahan enam individu berusia 17 hingga 19 tahun.
Beliau berkata, mereka ditahan selepas hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati mereka positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


