Isu KidZania: PM Anwar Akan Jumpa Pengurusan Khazanah Nasional

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para pengunjung di Foodcourt Sports Arena di Cyberjaya. Foto Facebook.
CYBERJAYA, 16 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berkaitan penjualan asetnya, KidZania kepada Singapura.
“Yang itu saya akan bermesyuarat dengan mereka (Khazanah),” kata Perdana Menteri ringkas ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, pengendali taman tema, Sim Leisure Group memperoleh KidZania Singapura pada harga hanya SG$110,000 (RM379,398).
KidZania Singapura sebelum ini dilancarkan oleh Khazanah dan Boustead Holdings Bhd pada 2016, dengan suntikan pelaburan RM165.52 juta.
KidZania Singapura bagaimanapun dilaporkan memiliki hutang RM184.17 juta, dengan 93 peratus hutang itu kepada Theme Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (TARH).

Sementara itu, portal berita dalam talian Singapura melaporkan, KidZania akan kembali kepada Singapura pada suku pertama tahun depan.
Taman tema kanak-kanak itu pertama kali dibuka di Singapura pada 2016 di Pulau Sentosa, namun ditutup sepenuhnya pada pertengahan 2020 berikutan pandemik Covid-19.
