Enam Maut Diserang Israel, PBB Kecam Serangan Kedaulatan Qatar

Saksi melihat kepulan asap tebal serangan rejim Israel yang mensasarkan kediaman pemimpin Hamas di Doha pada 9 September 2025. Foto AFP

DOHA, 10 Sep – Qatar akan terus berusaha menjadi perantara gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza walaupun Israel melancarkan serangan maut ke atas sebuah kem Hamas di Doha.

Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, berkata Qatar berhak bertindak balas terhadap serangan terang-terangan ini, sambil menyifatkan serangan itu sebagai detik penting bagi rantau terbabit.

“Tiada apa yang akan menghalang kami daripada terus memainkan peranan (perantaraan) ini untuk semua isu yang berlaku di sekitar rantau kami,” katanya.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara Doha selepas rejim Israel menyerang kediaman pemimpin Hamas pada 9 September 2025. Foto Reuters

Serangan udara itu membunuh enam orang, termasuk anak ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya dan seorang pegawai keselamatan Qatar, sekali gus menggugat usaha damai yang semakin goyah.

Doha, sekutu utama Amerika Syarikat (AS) yang menempatkan pangkalan tentera terbesar AS di rantau ini, telah menjadi tuan rumah kepada biro politik Hamas sejak 2012 dengan restu Washington.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas pemimpin Hamas di Doha, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Qatar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyokong tebusan Israel yang diculik semasa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 menyertai tunjuk perasaan menuntut pembebasan semua tebusan dan membantah kerajaan Israel serta Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, di Tel Aviv, Israel. Foto Reuters

Bercakap di New York semalam, Guterres menegaskan semua pihak mesti berusaha ke arah gencatan senjata berkekalan dan mengelak tindakan yang boleh menjejaskannya.

Beliau turut menyatakan bahawa Qatar memainkan “peranan yang sangat positif” dalam usaha gencatan senjata dan pembebasan tawanan yang ditahan di Gaza.

Tentera Israel mendakwa melancarkan serangan menyasarkan beberapa pemimpin kanan Hamas, semalam selepas berlaku beberapa letupan di ibu negara Qatar yang turut menempatkan biro politik kumpulan itu.

“Tentera Pertahanan Israel (IDF) dan Agensi Keselamatan Israel (ISA) melakukan serangan tepat menyasarkan kepimpinan tertinggi organisasi Hamas,” menurut kenyataan tentera Israel, tanpa menyatakan lokasi sebenar serangan itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *