RM5 Bilion Wang Rasuah Dirampas Bukti Kerajaan Di Landasan Tepat – Penganalisis

Abul Jais sifatkan ketegasan Perdana Menteri meletakkan pembasmian gejala itu sebagai keutamaan Kerajaan MADANI nampaknya mula membuahkan hasil dan kerajaan berada di landasan tepat bagi memulihkan integriti dan maruah yang tercalar sebelum ini.

PENDAPAT, 17 Ogos – Seluruh negara dikejutkan dengan angka menakutkan apabila begitu banyak wang rampasan hasil daripada aktiviti rasuah didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Itu baru setahun lebih hasil rampasan diperoleh daripada pelbagai kegiatan, belum lagi dikira puluhan bilion yang dicuri dan dibawa lari ke luar negara sejak puluhan tahun lalu.

Sedang rasuah membarah di segenap pelusuk kementerian dan jabatan sejak sekian lama, ketegasan Perdana Menteri meletakkan pembasmian gejala itu sebagai keutamaan Kerajaan MADANI nampaknya mula membuahkan hasil dan kerajaan berada di landasan tepat bagi memulihkan integriti dan maruah yang tercalar sebelum ini.

Iltizam Kerajaan MADANI bukan sekadar merampas sehingga RM5 bilion wang hasil daripada aktiviti haram itu setakat ini, malah ia merupakan bukti nyata bahawa kerajaan benar-benar serius memerangi gejala kotor yang telah mencalar maruah negara selama puluhan tahun.

“Dalam pelaksanaan sesebuah projek pembangunan misalnya, tatakelola yang baik antara tonggak utama bagi memastikan sesuatu projek itu dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Hal ini (tatakelola) termasuk semua bidang, latihannya, kecanggihan, keupayaan kita menguasai AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya. Jadi saya harap projek ini (Ipoh Sentral) dapat dijadikan contoh sebagai bukti ketegasan kita memerangi rasuah,” kata Anwar.

Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membasmi rasuah mula menampakkan hasil apabila sejumlah RM5 bilion dirampas lebih setahun lalu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Jumlah rampasan sebesar ini tidak sekadar melambangkan keberanian agensi penguat kuasa menjejaki wang haram, tetapi juga memperlihatkan komitmen tinggi untuk mengembalikan hak rakyat yang sekian lama dirampas oleh golongan tamak dan tidak berintegriti.

Bayangkan dengan RM5 bilion ini, sekolah uzur dan klinik daif di seluruh negara dapat diperbaiki dan dinaik taraf tanpa menggunakan peruntukan dalam mana-mana pembentangan belanjawan kerajaan.

Dengan wang sebanyak itu juga, kerajaan boleh menambah kakitangan kritikal seperti doktor, jururawat dan melengkapkan agensi keselamatan dengan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) terutamanya bagi memperhebat ikhtiar membasmi rasuah.

Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasil dengan wang sejumlah RM5 bilion yang dirampas setakat ini, ia boleh membantu bukan sekadar memulihkan imej dan integriti malah membolehkan sekolah uzur dan klinik daif diperbaiki segera. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Namun begitu, pencapaian ini hanyalah satu permulaan dan kita wajar mengucapkan syabas kepada semua agensi penguatkuasa kerana menyahut gesaan Perdana Menteri tanpa mengira sesiapa hatta bergelar Tun sekali pun.

Ia juga menandakan betapa parahnya akar permasalahan rasuah dalam sistem pentadbiran dan ekonomi negara. Oleh itu, lebih banyak usaha keras digerakkan oleh agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis serta agensi berkaitan untuk memastikan wang rakyat terus dilindungi.

Jika perlu, ganjaran lebih banyak dalam bentuk kewangan dan imbuhan boleh dilakukan bagi pemberi maklumat dan identitinya dilindungi bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga.

Semua pihak tanpa mengira siapa termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi ‘sokongan’ kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), tidak akan terlepas.

Rasuah bukan sahaja merugikan negara, tetapi juga memusnahkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dan melemahkan daya saing ekonomi di peringkat global.

Pun begitu, Kerajaan MADANI perlu terus memperkukuh kerjasama rentas agensi dengan mengguna pakai teknologi forensik kewangan terkini serta mengetatkan undang-undang sedia ada agar pelaku rasuaj tidak lagi terlepas dengan mudah dan dianggap sebagai pengkhianat negara.

Saya melihat aspek pendidikan antirasuah di semua peringkat masyarakat juga wajar diperkasa untuk membudayakan integriti kerana melalui tindakan menyeluruh inilah maruah negara dapat dipulihkan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah, berwibawa, dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Ikhtiar Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menampakkan hasil lumayan apabila berjaya merampas RM5 bilion wang rasuah setakat ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

– Abul Jais Ashfaq Ahmed merupakan penganalisis isu semasa

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *