Semoga Thaipusam Bawa Ketenangan Jiwa Buat Penganut Hindu – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi meninjau persiapan sambutan Thaipusam 2026 di Batu Caves, Selangor pada 30 Januari 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap penganut Hindu yang meraikan Thaipusam dapat memahami makna pengorbanan, keinsafan dan kekuatan spiritual sambil mengucapkan selamat menyambut perayaan itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri turut menekankan nilai kesabaran, disiplin dan ketekunan sepanjang menjalani ritual berkenaan.

“Nilai kesabaran, disiplin, dan ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat ini wajar dihormati dan dihargai bersama.

“Semoga Thaipusam dapat dilaksanakan dengan penuh kesyukuran dan tertib, sambil sentiasa menjunjung adab serta nilai yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa ketertiban dan keharmonian yang disaksikan setiap kali upacara keagamaan dan sambutan budaya di negara ini seharusnya menjadi cerminan bahawa hidup bersama dalam perbezaan bukan sesuatu yang asing, tetapi realiti yang telah lama membentuk jati diri Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi meninjau persiapan sambutan Thaipusam 2026 di Batu Caves, Selangor pada 30 Januari 2026. Foto PMO

“Semoga Thaipusam membawa ketenangan jiwa buat seluruh penganut Hindu, serta terus menyuburkan rasa saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita,” ujarnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *