Semoga Pelaku Ke Atas Cikgu Istiqomah Mendapat Hukuman Sewajarnya – Dr Hafidzah

ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim berdoa bersama-sama pimpinan AWAN Kelantan ketika menziarahi bonda dan keluarga Allahyarham Cikgu Istiqomah di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan. Foto Instagram Dr. Hafidzah Mustakim
KOTA BHARU, 25 Ogos – Baru-baru ini negara dikejutkan berita pembunuhan kejam seorang guru bernama Istiqomah Ahmad Rozi, 33 yang hilang pada Disember tahun lalu.
Pada 6 Ogos lepas, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira pukul 2 petang.
Selepas kira-kira lapan bulan berlalu, pihak polis mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Cikgu Istiqomah yang dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan.

Terkesan dengan perkembangan kes itu, ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim bersama Pimpinan AWAN Negeri Kelantan dan kawasan menziarahi bonda dan keluarga Allahyarhamah Cikgu Istiqomah di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas dekat sini.
Dr Hafidzah menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada waris dan keluarga allahyarhamah serta menyampaikan sumbangan dari Pusat Khidmat DUN Kota Lama.
Beliau juga berkesempatan berinteraksi dengan tiga orang anak allahyarhamah yang berusia sembilan, enam dan empat tahun semasa ziarah berkenaan.

“Semoga anak anak arwah sabar dan tabah menghadapi ujian sebegini besar setelah kehilangan ibu tercinta.
“Terharu dengan kekuatan jiwa dan semangat yang dipunyai oleh seorang ibu yang mahukan pembelaan terhadap anakanda yang menjadi mangsa keganasan dan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan,” ujar beliau menerusi hantaran di media sosial.
Di akhir pertemuan itu, beliau mengungkap hanya mahukan penjenayah terbabit dihadapkan ke muka pengadilan dan mendapat balasan yang setimpal atas kekejamannya.
“Semoga keluarga ini diberikan kesabaran dan kekuatan untuk mengharungi ujian yang sangat berat ini.
“Bagi AWAN Negeri Kelantan pula, kami mengajak seluruh masyarakat untuk mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan yang dilakukan terhadap sesama insan apatah lagi terhadap wanita. Marilah kita menggembleng tenaga dan usaha untuk menghentikan keganasan dan kezaliman di mana saja,” tambahnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
