Hubungan, Kerjasama Kerajaan Perpaduan Dengan UMNO, BN Masih Baik – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perasmian Muktamar Masjid SeMalaysia Untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan dan kerjasama Kerajaan Perpaduan bersama parti gabungannya UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih di tahap baik.
Perdana Menteri juga berkata pada masa ini, kerjasama dengan UMNO adalah sangat memuaskan dengan ruang perbincangan masih dibuka secara baik.
“Jadi untuk masa hadapan, itu kita masih buka ruang untuk berbincang secara baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Muktamar itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan timbalannya Dr Zulkifli Hasan, serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin Datuk Seri Ahmad Awang.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang memberi amaran supaya ahlinya tidak terbuai dengan fitnah dan tohmahan pihak lawan sehingga terbit rasa sangsi sesama sendiri.

Ketika menyampaikan ucapan dasar di hadapan lebih 2,000 perwakilan, Ahmad Zahid mahu setiap ahli dan peringkat kepimpinan termasuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengetepikan perbezaan dalam usaha memperkuat parti agar UMNO kembali dominan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
