Keakraban Sultan Hassanal Bolkiah-PM Anwar Pemangkin Hubungan Erat Brunei-Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pada 28 November 2022, empat hari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Foto Bernama

PENDAPAT, 25 Ogos – Keakraban Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemangkin penting hubungan erat antara Brunei dan Malaysia.

Ia dapat dilihat sebagai hubungan istimewa melangkaui sempadan dan batasan politik kerana kedua-dua pemimpin itu memperlihatkan kematangan meneruskan jalinan erat sejak sekian lama terutama ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.

Menurut Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi berkata keakraban hubungan kedua-dua pemimpin itu, dapat dilihat apabila Sultan Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke Kuala Lumpur hanya dalam tempoh empat hari selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan negara Sultan Brunei ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana pada 4 Ogos tahun lalu. Foto Bernama

Sultan Hassanal Bolkiah berangkat ke Kuala Lumpur pada 28 November 2022, setelah Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022.

Mengenai lawatan dua hari Anwar ke Brunei dijadualkan bermula hari ini, Nur Ezira berkata ia merupakan lawatan ketiga Anwar ke negara berkenaan sejak dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Lawatan sulung Perdana Menteri ke Negara Brunei Darussalam pada bulan Januari tahun lepas, dan pada Januari tahun ini, Perdana Menteri sekali lagi ke Brunei bagi menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah yang memulakan lawatan rasmi lima hari dari 17 Ogos hingga 21 Ogos. Foto Bernama

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual tiba di sini pada pukul 10.25 malam ini untuk lawatan kerja selama dua hari ke Brunei, bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei.

Nur Ezira berkata lawatan Anwar ke Brunei kali ini juga istimewa kerana ia bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan Brunei, selain anggota delegasi Perdana Menteri yang merangkumi menteri dan timbalan menteri yang ramai menunjukkan keakraban hubungan dua negara.

Beliau berkata hubungan erat dua negara ini juga memberikan kelebihan buat Sabah dan Sarawak terutama dari aspek kerjasama ekonomi memandangkan dua negeri Malaysia itu berjiran dengan Brunei.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 28 November 2022, empat hari selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai PM ke-10. Foto Bernama

“Hubungan kerjasama ekonomi terutamanya sangat baik, pada lawatan ini juga akan ada beberapa pengumuman dibuat dan kita doakan semoga ada sesuatu untuk Sabah dan Sarawak nanti,” katanya.

Nur Ezira berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini (Januari hingga Mei) jumlah dagangan antara kedua-dua buah negara mencecah RM3.53 bilion (USD0.75 bilion).

Nilai dagangan Brunei dan Malaysia pada tahun lepas berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion), menjadikan Brunei rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-30 terbesar di dunia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *