Seludup Diesel Lebih ‘Untung’ Berbanding Tangkap Ikan?

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar menunjukkan sebahagian diesel yang dirampas selepas menahan empat buah bot di jeti nelayan Kampung Geting, Tumpat pada 13 April 2026. Foto KPDN Kelantan
KOTA BHARU, 14 Apr – Pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan kerajaan bagi membantu para nelayan termasuk memberi subsidi diesel, namun niat murni kerajaan tersebut dibalas dengan pengkhianatan segelintir daripada mereka.
Mencari ‘duit haram’ sememangnya cukup mudah apatah lagi menghabiskan kuota diesel dengan memperoleh ‘untung’ kira-kira RM5 seliter tanpa mengambil kira soal halal haram dalam ‘urusniaga’ berkenaan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, dengan harga subsidi diesel yang diterima nelayan iaitu RM1.65 seliter berbanding RM6.72 seliter bagi harga pasaran menjadikan nelayan boleh mengaut untung besar jika menjalankan kerja-kerja penyeludupan.

Menurutnya, siasatan mendapati, nelayan-nelayan dipercayai mengubah suai tangki simpanan bot mereka untuk mengisi diesel sebelum menjalankan pemindahan menggunakan kaedah bot ke bot di tengah laut.
“Mereka berkemungkinan menjual diesel subsidi itu kepada bot-bot nelayan Thailand dan Vietnam. Daripada mereka pergi ke laut untuk menangkap ikan dengan perlu menghadapi gelombang dan mabuk, penyeludupan diesel dilihat sebagai satu pekerjaan lain yang lebih menguntungkan.
“Mereka mendapat untung hampir RM5 untuk seliter diesel yang diseludup di tengah laut. Bayangkan jika bot mereka dapat mengisi sebanyak 10,000 liter. Sudah berapa banyak untung yang mereka dapat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, berdasarkan maklumat, sesebuah bot nelayan memperoleh puluhan ribu liter diesel bersubsidi setiap minggu.
Menurutnya, sehubungan itu, polis sentiasa bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan polis marin untuk memberi perhatian terhadap subsidi diesel yang disalurkan kepada mereka melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Berita pertanian
Menurutnya, kerjasama dengan dua agensi penguat kuasa itu penting kerana penyeludupan diesel secara bot ke bot itu dijalankan di tengah laut.
“Pada saya, isu penyelewengan diesel di stesen minyak tidak terlalu serius sekiranya tidak melibatkan banyak kenderaan. Paling membimbangkan adalah isu penyeludupan diesel subsidi laut kerana ia melibatkan kuantiti yang banyak,” ujarnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, taktik licik sindiket yang menjadikan tangki dan ruang simpanan ikan sebagai stor rahsia untuk menyeludup diesel ke negara jiran menggunakan laluan laut terbongkar selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu jeti nelayan Kampung Geting di sini kelmarin.
Serbuan kira-kira pukul 4.53 petang itu dijalankan menerusi Op Tiris 4.0 itu membawa kepada penangkapan empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, semua suspek dicekup semasa sedang leka memindahkan diesel menggunakan pam dan hos ke dalam tangki tambahan yang diubah suai termasuk ruang simpanan ikan dari bot Kelas A ke Kelas C.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
