Pemergian Asha Bhosle Kehilangan Besar Dunia Muzik, Kebudayaan – PM Anwar

Pemergian penyanyi legenda India, Asha Bhosle kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu kehilangan besar kepada dunia muzik dan kebudayaan. Foto X
KUALA LUMPUR, 14 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian penyanyi legenda India, Asha Bhosle merupakan satu kehilangan besar kepada dunia muzik dan kebudayaan.
Menerusi satu hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, mendiang semasa hayatnya merupakan figura seni yang berjaya menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan.
“Sebagai penyanyi, beliau telah menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi,” katanya.
Sebagai adinda kepada Lata Mangeshkar, Anwar berkata, mendiang turut mengangkat legasi besar keluarga dalam khazanah seni Asia Selatan.
“Namun beliau tetap membina jalur kepemimpinan seni dengan gaya tersendiri, berani bereksperimen dan tidak sekadar berada pada tahap biasa,” ujarnya.
Tambah Anwar, Asha juga kekal relevan dalam arus perubahan zaman yang sentiasa berkembang dengan citra baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga beliau serta seluruh pencinta seni yang turut merasai kehilangan penyanyi tersohor itu.
“Semoga legasi beliau terus menyemarak dan menjadi ilham kepada generasi penerus dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
