BUDI Agri-Komoditi, BUDI Diesel Naik Kepada RM400 Ringankan Beban Petani

Bantuan tambahan tersebut dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban menanggung kos menanam tanaman penting seperti padi, kelapa sawit dan sebagainya.

KUALA LUMPUR, 14 Apr – Keputusan Kerajaan MADANI menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi bulan ini, amat membantu rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga bahan api itu susulan konflik di Asia Barat.

Mereka menyifatkan bantuan tambahan tersebut dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban menanggung kos menanam dan membawa keluar hasil tanaman penting seperti padi, kelapa sawit dan sebagainya.

Bagi Mohd Shahidan, 37, beliau bersyukur dengan pertambahan RM100 berkenaan kerana sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos membawa keluar hasil tanaman dari kebun bersama rakan.

“Alhamdulillah terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara kami dan bersetuju menambah bantuan kerana harga diesel memang membebankan, namun kami faham ia bukannya salah kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan ia akan disalurkan pada 21 April ini.

“BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.

“BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar membabitkan musim penanaman pada tahun ini.

Menurut MoF, kenaikan itu membabitkan tambahan dana sekitar RM40 juta dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada bulan ini.

“Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga Kerajaan MADANI memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input,” kata kementerian itu.

Menerusi insentif berkenaan, MoF dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel.

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan.

MoF memaklumkan bahawa syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan.

Sehubungan itu, pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.

“Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *