Selepas AS, Perancis Dan Jerman Puji Usaha PM Anwar Sebagai Perantara

Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Presiden Perancis Emmanuel Macron memuji pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja. Foto X Friedrich Merz
KUALA LUMPUR, 29 Jul – Setelah Amerika Syarikat (AS) menghargai peranan Malaysia dalam krisis Thailand-Kemboja, Perancis dan Jerman turut memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara itu.
Kejayaan berkenaan kata jurucakap kedua-dua negara itu sekali gus memperkukuh kepercayaan antarabangsa terhadap ASEAN sebagai platform utama diplomasi serantau sejak ditubuhkan pada 1967.
Dalam perbualan telefon bersama Anwar semalam, Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyampaikan penghargaan atas usaha diplomatik yang ditunjukkan Malaysia.

Menurut jurucakap kerajaan Jerman dalam satu kenyataan, Stefan Kornelius, Merz menekankan pentingnya usaha berterusan bagi meredakan ketegangan dan melihat Malaysia sebagai rakan strategik utama di Asia Tenggara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam kestabilan serantau dan Jerman berhasrat untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan politik dengan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Perancis turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata yang dicapai hasil mediasi Malaysia, selepas pertemuan penting antara Perdana Menteri Kemboja dan Thailand di Putrajaya, semalam.

Kementerian Luar Perancis dalam kenyataan menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, selain menggesa pelaksanaan gencatan senjata secara berkesan.
“Perancis mengulangi komitmennya terhadap prinsip sentraliti ASEAN dan bersedia menyokong inisiatif yang diterajui demi penyelesaian jangka panjang berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Kemajuan penting ini mesti dijadikan asas kepada penyelesaian jangka panjang melalui cara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Semalam, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
