AS Puji Kepimpinan PM Anwar Kendali Rundingan Gencatan Senjata Thailand-Kemboja

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio memuji pendekatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara dengan Washington menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand di Putrajaya pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 29 Jul – Kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio yang memuji pendekatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara serta menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan semalam, jelas menggambarkan Washington memperakui kepimpinan Malaysia menerajui ASEAN tahun ini.
Hasilnya jelas, tanpa perlu memanjangkan isu sempadan sepanjang 817 kilometer, Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN meminta kedua-dua pihak duduk bersama dan membincangkan terma gencatan senjata secara tenang, berhemah dan lebih penting, memupuk semangat serantau dalam apa sahaja bentuk pertikaian.
Ia turut diakui menerusi kenyataan Jabatan Negara (State Department) di Washington yang memuji kepimpinan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara kedua-dua negara.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
Rubio yang senada dengan Anwar turut menggesa Thailand dan Kemboja mematuhi sepenuhnya komitmen mereka menamatkan konflik serta mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan sempadan dipertikaikan.
“Presiden Donald Trump dan saya komited menghentikan keganasan serta-merta dan kami menjangkakan kerajaan Kemboja serta Thailand akan menunaikan sepenuhnya komitmen mereka bagi menamatkan konflik ini,” katanya.

Rubio menegaskan AS akan terus komited dan terlibat proses dianjurkan bersama dengan Malaysia bagi menamatkan konflik yang bermula 24 Julai lalu dengan kematian dilaporkan di kedua-dua kawasan sempadan.
“Kami menggesa semua pihak menunaikan komitmen masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, wakil AS dan China yang menghadiri rundingan berkenaan mengesahkan proses yang bermula jam 3.15 petang itu berjalan lancar dan mematuhi kesemua terma perjanjian gencatan senjata yang dimeterai semalam.

Rundingan di Putrajaya itu turut dihadiri Duta Besar AS ke Malaysia Edward D. Kagan manakala China diwakili Duta Besar ke Malaysia Ouyang Yujing.
Ternyata diplomasi ‘cara Malaysia’ mula diterap dalam semangat ASEAN yang bakal merubah lanskap geopolitik serantau agar lebih dinamik, berdaya tahan dan disegani blok lain di dunia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
