Isu Sempadan Malaysia-Indonesia Diselesai Secara Rundingan, Undang-Undang – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 di Istana Merdeka, Jakarta pada 29 Julai 2025. Foto Sekretariat Presiden Republik Indonesia
JAKARTA, 29 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak pernah mengambil sikap agresif berkaitan isu sempadan dengan Indonesia, sebaliknya mengikut undang-undang dan rundingan.
Perdana Menteri yang kini dalam lawatan kerja ke Indonesia berkata proses rundingan berkenaan turut melibatkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor seperti yang dibincangkan bersama.
“Berkenaan isu Ambalat (Laut Sulawesi), ia mengikut undang-undang, kita tidak mengambil sikap agresif, jangan menceroboh kawasan masing-masing,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) dan pemimpin redaksi (pemred@ketua-ketua pengarang) Indonesia, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden ISWAMI Malaysia Ashwad Ismail, Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan, Timbalan Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta wakil Ketua Forum Pemred Taufiq Rahman.
Anwar yang tiba di Jakarta pada Isnin turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Isu Ambalat merupakan isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi yang terletak di antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.
Sejak itu, rundingan demi rundingan diadakan menerusi pelbagai peringkat dari jawatankuasa hinggalah kepada kepimpinan tertinggi kedua-dua negara bagi mencari kata putus penyelesaian bersama.
Kementerian Luar dalam jawapan bertulis di portal Parlimen pada 22 Julai lepas berkata Malaysia berpendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi yang dituntut Indonesia menerusi rujukan Ambang Batas Laut atau “Ambalat”, merupakan sebahagian daripada kawasan kedaulatan Malaysia.

Kementerian Luar memaklumkan pendirian itu berdasarkan undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002.
“Dalam hubungan ini, rujukan “Ambalat” kepada sebahagian blok tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan. Oleh yang demikian, rujukan yang betul kepada kawasan yang berkenaan yang perlu digunakan selaras dengan pendirian Malaysia ialah Laut Sulawesi,” menurut kementerian itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
