Selangor Umum Bonus Tiga Bulan Gaji Bagi Penjawat Awam Negeri

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika menunjukkan buku Belanjawan Selangor 2026 di Shah Alam pada 14 November 2025. Foto Saifuddin Shafi Muhammad

SHAH ALAM, 14 Nov – Kerajaan Selangor sekali lagi menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam di negeri itu apabila mengumumkan pemberiam Bantuan Khas Kewangan (BKK) atau bonus sebanyak tiga bulan gaji yang diberikan secara berperingkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, ketika mengumumkan pemberian itu berkata ia sebagai penghargaan kepada penjawat awam negeri yang bersama-sama menggerakkan langkah berani reformasi untuk memasuki era baharu ‘Selangor Juara’.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kita memerlukan komitmen semua.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama Exco Kerajaan Negeri menunjukkan dokumen Belanjawan Selangor 2026 di Shah Alam pada 14 November 2025. Foto Jamailah Jamaluddin

“Justeru sebagai tanda penghargaan serta dorongan khidmat penjawat awam, kerajaan negeri dengan sukacitanya mengumumkan BKK bagi tahun fiskal ini sebanyak tiga bulan gaji.

“BKK satu bulan setengah gaji sudah disalurkan pada awal tahun ini.

“BKK kali kedua sebanyak satu bulan setengah gaji dengan minimum RM1,000 akan disalurkan pada 18 Disember depan,” katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama Exco Kerajaan Negeri menunjukkan dokumen Belanjawan Selangor 2026 di Shah Alam pada 14 November 2025. Foto Jamailah Jamaluddin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Amirudin berkata, bantuan khas itu termasuk pemberian kepada pemimpin masyarakat di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK); Pegawai Perhubungan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun; Ketua Komuniti India; Penyelia Wanita Berdaya, serta Penggerak Belia Selangor yang akan menerima sebulan elaun.

Selain itu, katanya, petugas masjid akan menerima RM500 sumbangan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

Terdahulu, Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion, meningkat sebanyak RM230 juta berbanding RM3 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Bertemakan ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan Selangor 2026 merangkumi RM1.86 bilion (57.6 peratus) perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion (42.4 peratus) perbelanjaan pembangunan.

Amirudin berkata, Belanjawan Selangor 2026 mengangkat enam tekad, iaitu Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat dan Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa.

Ini bagi memastikan pertumbuhan lebih kukuh mendasari pelan pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam situasi ekonomi lebih mencabar tahun depan.

Selain itu, Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan; Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda; Selangor Negeri Penyayang; serta Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *