PRU Sabah: KEADILAN Tuaran Bantu Empat Calon GRS

Razeef mewakili KEADILAN Cabang Tuaran akan membantu calon-calon GRS termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang akan mempertahankan kerusi DUN Sulaman pada PRU Sabah bermula pada 15 November 2025.
TUARAN, 14 Nov – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Tuaran akan membantu kesemua calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di empat kerusi DUN dalam parlimen berkenaan.
Empat kerusi DUN berkenaan ialah Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
Ketua Cabang, Mohamad Razeef Rakimin mengumumkan langkah tersebut selepas suatu mesyuarat peringkat cabang pada 8 November lepas, membincangkan gerak kerja bagi PRU Sabah ke-17.

“KEADILAN Tuaran telah membincangkan untuk membantu rakan sekutu sekiranya DUN dari cabang ini tidak diumumkan untuk dipertandingkan pada majlis pengumuman calon 9 November lalu.
“Mengikut keputusan terkini kononnya Umno tidak membantu calon KEADILAN di DUN Sindumin, maka kami memutuskan untuk membantu calon dari GRS bagi DUN Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu,” menurut kenyataan.
Semalam, Umno Sipitang mengumumkan ia tidak akan memberi kerjasama kepada calon KEADILAN bagi Sindumin, Yamani Hafez Musa, selaras Perkara 20.11 dan 20.13 perlembagaan Umno yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat Umno.
Katanya, seluruh bilik gerakan di 17 pusat daerah mengundi bagi DUN Sindumin ditutup serta-merta, dan jentera Barisan Nasional di kawasan itu tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik.
Yamani, yang juga anak lelaki Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman, menyertai Bersatu pada September 2019.
Sementara itu, KEADILAN Tuaran memutuskan hubungan dengan Upko serta-merta setelah parti itu menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) suslan presidennya, Ewon Benedick, meletak jawatan sebagai menteri persekutuan pada 8 November lalu.

Langkah ini akan membantu calon-calon GRS di keempat-empat kerusi DUN berkenaan meningkatkan peluang untuk memenanginya kali ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

