Sekali Lafaz, Fattah Amin Bergelar Suami Kepada Amira Othman

Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang pada 14 September 2025.
SEPANG, 14 Sep – Dengan sekali lafaz, Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, malam ini.
Majlis akad nikah yang disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat pasangan berkenaan.
Mengangkat tema Islamik Al-Zauj yang membawa maksud “dua jiwa dipertemukan oleh ALLAH”, majlis tersebut mengetengahkan suasana senja dengan konsep sederhana namun sarat makna, selari dengan hasrat kedua-dua mempelai untuk menjadikan hari istimewa mereka sebagai simbol penyatuan penuh keberkatan.
Menambah keistimewaan, pernikahan malam ini turut diadakan sempena ulang tahun kelahiran Fattah sendiri. Tarikh bersejarah itu dipilih oleh Amira yang menyifatkan perkahwinan mereka sebagai hadiah paling bermakna buat suaminya.
Dalam majlis itu, Fattah menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Pasangan pengantin tampil anggun dalam persalinan serba putih dengan rekaan busana Rizman Ruzaini yang digayakan oleh Fattah, sementara Amira pula menyerlah keayuan dalam persalinan putih rekaan Teh Firdaus. Lebih menarik, para tetamu yang hadir turut mengenakan busana putih bagi menepati tema yang dipilih.
“Alhamdulillah, syukur kerana semuanya dipermudahkan. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan kami,” ujar Fattah selepas selesai akad nikah.
Amira turut meluahkan rasa syukur kerana kini sah bergelar isteri kepada aktor tersebut, selain berharap doa yang baik sentiasa mengiringi perjalanan baharu mereka sebagai pasangan suami isteri.
Majlis turut mendapat sentuhan dekorasi daripada Reka Teemor, dengan pengasasnya, Rozana Mumtaz menjelaskan bahawa konsep Al-Zauj dipilih bagi menzahirkan hasrat pasangan yang mahukan pernikahan berkonsep Islamik serta harmoni.
“Al-Zauj membawa makna ‘dua jiwa dipertemukan oleh Allah’. Fattah dan Amira memang mahukan konsep Islamik, jadi kami ketengahkan tema ini dengan tambahan elemen senja atau sunset yang diselitkan bersama,” katanya.
– Oleh Nurezzatul Aqmar Mustaza
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
