‘SARA Bulan 2 Dah Masuk, Tunggu 9 Februari Untuk Ramadan Pula’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan insiatif SARA bulanan bermula 9 Januari lalu dan SARA secara ‘one-off’ yang akan dikreditkan pada 9 Februari 2026. Foto PMO
KOTA BHARU, 2 Feb – Di saat ramai yang menghabiskan cuti panjang sempena Thiapusam dan Hari Wilayah Persekutuan semalam, para penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula melahirkan rasa teruja dan bersyukur apabila bantuan sebanyak RM100 bagi bulan Februari telah dikreditkan ke dalam MyKad.
Menerusi hantaran di media sosial Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, para penerima boleh menyemak baki terkini SARA di aplikasi MyKasih lantas terus berbelanja bagi mendapatkan barangan keperluan asas bagi bulan ini.
Bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan MADANI itu dilihat memberi kelegaan segera kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam menangani kos sara hidup.

Bagi kebanyakan penerima, bantuan RM100 tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, telur, makanan kering dan barangan dapur lain.
Ini turut diakui penerima di Kota Bharu yang menyifatkan bantuan itu walaupun kelihatan kecil, namun sangat bermakna kerana dapat meringankan perbelanjaan harian keluarganya. Menurutnya, setiap sen bantuan amat bernilai dalam memastikan keperluan asas keluarga setiap bulan sentiasa mencukupi.
Nur Zaharah Che Ismail, 57, dari Paya Bemban, Kota Bharu menyifatkan pemberian SARA amat bermakna dan berharga bagi seisi rumah yang berpendapatan kategori B40.
“Semoga SARA ni diteruskan setiap tahun dan membantu kami sekeluarga membuat persediaan Ramadan tak lama lagi dan jutaan terima kasih kepada YAB PMX atas pemberian SARA hari ini.
“Nanti 9 haribulan (Februari) pula masuk lagi RM100 jadi saya rasakan ia ‘bonus’ bagi menyediakan bahan makanan untuk berbuka dan sahur pula,” katanya.
Sementara penerima SARA kategori bujang, Muhammad Fitri Khairun Nizam, 21, dari Jalan Masjid Lundang pula melihat SARA dapat menjimatkan kos membeli barang dapur bagi membantu keluarga membuat persediaan menjelang bulan puasa kira-kira dua minggu lagi.

“Alhamdulilah, dengan bantuan SARA yang diberikan kepada saya ia dapat mengurangkan beban saya dalam menjimatkan kos untuk membeli barangan dapur, terbaik SARA,” ujarnya.
Menyifatkan penyaluran SARA secara konsisten setiap bulan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, Muhammad Fitri turut bersetuju bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori bujang disalurkan kepada SARA.
“Inisiatif ini sebagai bukti bahawa kerajaan memahami tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat biasa, khususnya golongan B40 dan miskin tegar kerana kaedah penyaluran bantuan secara terus turut dipuji kerana memudahkan penerima mengakses bantuan dengan cepat.
“Ramai penerima menyatakan rasa lega apabila bantuan dikreditkan tepat pada masanya, membolehkan mereka merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih teratur,” jelasnya lagi.
SARA diakui terus menjadi bantuan paling berkesan kepada golongan memerlukan sejak diperkenalkan menerusi Belanjawan 2023 selain STR yang disalurkan setiap suku tahun.
Bantuan RM100 yang diterima bagi bulan Februari ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka tidak dilupakan dalam arus pembangunan negara.
Sementara bantuan secara ‘one-off’ pada 9 Februari juga dapat membantu masyarakat Tionghua meraikan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut 17 Februari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


