Komitmen Kerajaan Martabat Seni Tempur Negara Dizahir, Peruntuk RM2 Juta

Penyampaian sumbangan kepada persatuan seni tempur tempatan disampaikan menerusi Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang diadakan di Seremban pada 31 Januari 2026.
SEREMBAN, 1 Feb – Komitmen dalam memartabatkan seni tempur negara sebagai warisan bangsa yang berpotensi diangkat ke peringkat antarabangsa, dizahirkan Kerajaan Madani melalui sumbangan besar merancakkan penglibatan masyarakat terutamanya anak muda.
Ini selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun padang menghadiri beberapa majlis pertemuan pesilat dan pengamal seni mempertahankan diri kebelakangan ini.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi peruntukan RM2 juta yang diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri yang sekali gus memantapkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan bidang seni mempertahankan diri tanah air.
Kekuatan jati diri pengamal seni tempur bukan setakat menunjukkan kehebatan bertarung di arena malah memiliki akhlak, mental dan disiplin tinggi sesuai dengan ilmu yang mereka pelajari.

Inisiatif penyaluran peruntukan itu jelas Pengasas Pertubuhan Lima Generasi, Datuk Abdullah Ghani Kassim, disifatkan sebagai suntikan mantap bagi memastikan seni mempertahankan diri tempatan terus berkembang secara tersusun dan profesional.
Peruntukan RM2 juta yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkasa program latihan atlet dan penguasaan ilmu kejurulatihan, penganjuran kejohanan serta kempen promosi seni mempertahankan diri tempatan hingga diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bila ada dana, mula bergerak. Dengan mana-mana gelanggang yang tiada ‘punching bag’, buat punching bag, perbesarkan gelanggang. Jadi, Alhamdulillah, impian itu menjadi kenyataan. Target (sasaran) untuk pesilat negara pada masa akan datang, kalau boleh, kita akan perbesarkan lagi,” katanya.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang dianjurkan di sini, malam tadi menjadi medan pertemuan penting mengukuhkan keberadaan pengasas dan pengamal seni silat tempatan yang turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Antara fokus utama kerajaan ketika ini katanya, adalah memastikan seni persilatan diperkenalkan secara lebih meluas dalam sistem pendidikan negara.
Malah beberapa insiatif sedang digerakkan bagi menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah, sekali gus memperkenalkan seni persilatan kepada generasi muda sejak peringkat awal.

“Antara lainnya, kita sekarang sedang berusaha untuk memastikan setiap sekolah mempunyai silat. Kita pastikan anak-anak, terutamanya murid-murid sekolah, mengenali silat sama ada silat seni budaya, silat sukan dan sebagainya,” katanya.
Lima anugerah turut disampaikan menandakan taraf pengiktirafan tinggi kepada individu yang telah mengharumkan nama negara serta banyak berjasa dalam arena seni mempertahankan diri tanah air.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
