Samsuri Naik, Hamzah Turun: PN Cuma Lengkapkan Proses ‘Kitar Semula’

Pelantikan Ahmad Samsuri menggantikan Hamzah sebenarnya memperlihatkan PN terus berdepan krisis dalaman biarpun Bersatu telah menyingkirkan Hamzah sebagai Timbalan Presiden.
KUALA LUMPUR, 16 Mei – ‘Khidmat’ Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang berakhir apabila Perikatan Nasional (PN) memilih Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengganti pada Mesyuarat Majlis Tertinggi pembangkang itu hari ini.
Keputusan itu sebenarnya tidaklah mengejutkan kerana PN terus berdepan krisis dalaman biarpun Bersatu telah menyingkirkan Hamzah sebagai Timbalan Presiden Bersatu, Februari lalu dan menggerakkan ‘Reset’ sebagai elemen penjenamaan semula PN.
Ini kerana, walaupun perubahan kepimpinan sering dianggap usaha menyegarkan imej parti, sebahagian besar rakyat masih menilai kemampuan sesebuah gabungan berdasarkan rekod pentadbiran dan pencapaian sebenar ketika memegang kuasa.
Hakikatnya, PN masih berdepan cabaran besar untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir negara dengan lebih baik selepas pengalaman 33 bulan pentadbiran terdahulu yang sering dikaitkan dengan ketidakstabilan politik, kegagalan tadbir urus serta kelemahan pengurusan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Dalam tempoh kerajaan ‘tebuk atap’ itu memerintah, pelbagai polemik termasuk pertukaran kerajaan, perebutan kuasa dan ketidaktentuan dasar memberi kesan terhadap keyakinan pelabur serta kestabilan negara.
Walaupun Ahmad Samsuri dilihat mempunyai pendekatan lebih tenang dan profesional, perubahan individu atau ‘kitar semula’ Ketua Pembangkang tidak mencukupi untuk memadam persepsi rakyat terhadap kelemahan PN setelah berjaya ‘menyingkirkan’ Muhyiddin Yassin dari tampuk PN, 22 Februari lepas.

Harus diingat, rakyat terutama anak muda kini lebih kritis dan matang dalam menilai kepimpinan berdasarkan prestasi, kestabilan serta keupayaan menyelesaikan kehidupan harian mereka.
Walau siapapun yang menggantikan Hamzah, PN sama sekali mampu menyaingi jauh sekali mengatasi kehebatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI dalam mengurus cabaran ekonomi lebih-lebih lagi berdepan dengan krisis tenaga ekoran konflik di Asia Barat.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Samsuri itu diputuskan pada mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Ahmad Samsuri tanpa kehadiran Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menjadi ‘mentornya’.
Jelas sekali, tanpa kewibawaan Ahmad Samsuri selama ini di Dewan Rakyat, rupanya ‘mimpi ngeri’ PN akhirnya menjadi kenyataan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

