Sampai Bila Nak ‘Beri Muka’ Kepada Pemandu Mabuk?

Tindakan sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab serta mengabaikan keselamatan orang lain.

PENDAPAT, 31 Mac – Kes pemandu mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah yang melanggar pengguna jalan raya lain hingga menyebabkan kematian adalah satu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali.

Tindakan sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab serta mengabaikan keselamatan orang lain.

Tiada ruang kemaafan terhadap kecuaian pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah menggunakan jalan raya atas apa alasan sekalipun.

Dalam banyak kes, mangsa yang terkorban adalah individu tidak bersalah yang sekadar menggunakan jalan raya untuk urusan harian. Oleh itu, hukuman yang lebih tegas wajar dikenakan bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Cadangan agar pesalah dikenakan hukuman penjara seumur hidup dilihat sebagai langkah yang wajar dan berpatutan.

Kehilangan anggota keluarga apatah lagi seorang ketua yang mencari rezeki tidak tertanggung disebabkan kecuaian manusia di jalan raya.

Hukuman berat ini mampu menjadi pengajaran kepada masyarakat bahawa memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah bukan sekadar kesalahan biasa, tetapi satu perbuatan yang boleh meragut nyawa.

Kita alu-alukan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) meminda Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

Tiada jalan lain kecuali mengenakan hukuman setimpal malah lebih berat terhadap pemandu yang cuai di jalan raya dengan segera.

Namun ia harus disegerakan kerana nyawa pengguna jalan raya menjadi taruhan setiap hari di lebih 26 ribu kilometer laluan di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, sebagai pencegahan agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mengambil risiko yang membahayakan diri serta orang lain, denda serta penjara seumur hidup juga boleh dipertimbangkan kerana ia bukan tragedi tetapi kecuaian manusia.

Pesalah jalan raya sudah sampai masanya dihukum paling berat dan pindaan akta segera merupakan langkah terbaik bagi melindungi kepentingan semua pihak.

Penguatkuasaan undang-undang juga perlu diperkukuh dengan operasi berterusan, termasuk pemeriksaan rawak dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan pemandu secara masa nyata (real time) yang melanggar peraturan.

Pendidikan dan kesedaran awam turut memainkan peranan penting dalam mengubah sikap masyarakat terhadap isu ini kerana pencegahan paling berkesan sebelum tragedi lebih parah disaksikan.

Pindaan undang-undang kesalahan jalan raya membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah wajar disegerakan bagi mengelak tragedi di Klang ini menjadi kemarahan seluruh negara.

Tolonglah, tindakan tegas termasuk hukuman penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kematian adalah langkah perlu demi menjaga keselamatan awam.

Ia bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, tetapi juga memastikan jalan raya menjadi lebih selamat untuk semua.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *