Kapal Malaysia Lalu Selat Hormuz Tanpa Sebarang Tol – Duta Iran

Valiollah memaklumkan bahawa Iran tidak menghalang laluan kapal negara sahabat termasuk Malaysia, malah memberi jaminan bahawa ia boleh digunakan tanpa sebarang tol.

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Kapal milik Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang bayaran tol, sekali gus memberi jaminan laluan selamat di tengah ketegangan serantau.

Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, Tehran telah dimaklumkan mengenai tujuh kapal Malaysia yang berada di Teluk Parsi dan berhasrat untuk melalui laluan strategik itu.

Menurutnya, Iran tidak menghalang laluan kapal negara sahabat termasuk Malaysia, malah memberi jaminan bahawa ia boleh digunakan tanpa sebarang tol.

“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melaluinya.

“Kami telah mempertimbangkan perkara ini, dan Insya-ALLAH, mereka akan lalu. Ia tidak menjadi masalah kerana Malaysia adalah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat itu,” katanya yang dipetik menerusi laporan media.

Ini seki gus menyanggah tuduhan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang meminta kerajaan menjelaskan kononnya sama ada Malaysia turut membayar tol untuk kapal negara ini melalui Selat Hormuz.

Trump mengugut akan menyerang dan ‘menghapuskan’ loji-loji janakuasa utama negara itu sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka sepenuhnya dalam tempoh 48 jam tetapi ditangguhkan kepada 6 April 2026.

Ia susulan dakwaan media antarabangsa bahawa tentera Iran mewujudkan pusat pungutan tol di selat itu dan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta atau RM8.04 juta.

Apabila diminta mengulas sama ada kapal-kapal itu akan dikenakan tol, Valiollah memaklumkan, kapal dari Malaysia akan dibenarkan melaluinya dengan bebas.

“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas lalu). Kami tidak akan mengenakan bayaran,” tambahnya.

Pada Sabtu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan tujuh kapal tangki Malaysia sedang menunggu kebenaran dan tempoh laluan selamat untuk meneruskan perjalanan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *