Sambutan Meriah Tahun Baharu Cina Di Seluruh Negara Serlah Kemakmuran, Perpaduan Negara – Andre Lai

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai sempat melekatkan kertas berkat untuk Kedai Gunting Rambut Indiana di Teratai Mewah bersama tuan punya kedai Selvan pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Foto Facebook Andre Lai

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina bagi tahun ini amat meriah di seluruh negara.

Sejak beberapa hari lalu suasana kemeriahan dapat dirasai segenap lapisan masyarakat terutama kaum Tionghua yang meraikan Tahun Naga yang penuh dengan semangat juang tinggi.

”Rakan-rakan saya di seluruh negara berkongsi cerita kemeriahan ‘makan besar’ malam tadi bersama sanak-saudara dan kelihatannya tahun ini membawa lebih kemakmuran dan kesejahteraan.

”Saya dapat merasakan kemeriahannya di seluruh negara yang benar-benar menyerlahkan kemakmuran dan perpaduan di kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai sempat melekatkan kertas berkat untuk Kedai Gunting Rambut Indiana di Teratai Mewah bersama tuan punya kedai Selvan pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Foto Facebook Andre Lai

Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju turut menitipkan pesan buat semua agar sentiasa mengutamakan keluarga sepanjang perayaan tahun ini.

Beliau juga memetik ungkapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu bagi membangkitkan semangat prinsip-prinsip universal tersebut, kita sebagai rakyat Malaysia mesti teruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani.

“Di pihak Kerajaan, kerja kita akan lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya. Ekonomi mesti dibangunkan secara saksama, mampan dan berkebajikan, kebejatan (kerosakan) mesti dijauhkan serta perpaduan diperkukuh,” ujar Anwar.

Terdahulu di KUALA LUMPUR, Anwar hari ini menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini.

Ketibaan Anwar pada 10 pagi disambut Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.

Majlis itu juga diserikan dengan kehadiran menteri Kabinet antaranya Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Pada majlis itu, Anwar bersama-sama tetamu kehormat menggaul Yee Sang yang merupakan antara hidangan tradisi dan popular Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui media selepas majlis itu merakamkan ucapan penghargaan kepada Wee.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Wee Ka Siong dan MCA, dan saya mendoakan semuanya baik,” kata Anwar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggaul ‘yee sang’ semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA yang berlangsung di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto Saddam Yusof

Sambutan tidak kurang meriahnya di JOHOR BAHRU apabila jalan raya sekitar bandar raya ini dihiasi dengan pelbagai tanglung menambahkan keceriaan di sini yang bersempadan dengan Singapura.

Manakala di GEORGE TOWN, kompleks membeli-belah menjadi tumpuan kaum Tionghua meraikan makan tengah hari bersama-sama kaum keluarga serta sanak-saudara.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *