Salah Guna Dadah, Lelaki Mengaku Dihukum Penjara, Sebat

Mahkamah Sesyen Kuching menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Najib Saini setelah mengaku salah atas kesalahan memiliki dadah.

KUCHING, 1 Ogos – Seorang lelaki bekerja sendiri yang mempunyai beberapa rekod lampau penyalahgunaan dadah berbahaya, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dua bulan dan dikenakan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Iris Awen Jon turut memerintahkan tertuduh, Mohamad Najib Saini, 30, supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun setelah selesai menjalani hukuman.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39C (1) (b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebat tidak melebihi tiga kali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine dan pada masa sama turut mempunyai dua rekod sabitan lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, masing-masing pada Oktober serta Disember 2023.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.45 petang pada 19 Februari 2025 di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching.

Terdahulu sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh merayu agar dijatuhi hukuman ringan dan berjalan serentak dengan hukuman penjara yang dihadapinya sekarang.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memohon hukuman sewajarnya dijatuhkan terhadap tertuduh, selain memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh kini menjalani hukuman penjara setahun setelah disabitkan pada 17 April 2025 untuk kesalahan di bawah Seksyen 6 (2) (d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *