Saifuddin Nasution ‘Terjah’ Kompleks CIQ Johor Bahru Jam 4.30 Pagi

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan tinjauan mengejut bersama Ketua Polis Johor M Kumar di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pagi tadi. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

JOHOR BAHRU, 27 Mei – Seawal jam 4.30 pagi tadi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan tinjauan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru bagi melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk membabitkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Ketibaan beliau disambut Ketua Polis Johor M Kumar sebelum mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melawat pusat operasi imigresen dan proses rentas sempadan antara kedua-dua negara.

“Seawal 4.30 pagi tadi, saya telah membuat tinjauan awal bersama YAB Timbalan Perdana Menteri 2, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof di Kompleks ICQS , Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan tinjauan mengejut bersama Ketua Polis Johor M Kumar di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pagi tadi. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

“Komitmen Kerajaan MADANI jelas untuk segera menoktahkan kesesakan yang berlaku di Tambak Johor ini . Mohon doa dari semua 🙏🏻,” katanya.

Ini merupakan lawatan kesekian kalinya ke kompleks berkenaan malah sebelum ini turut mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu.

Sementara itu Fadillah berkata sebaik tiba di BSI, beliau meninjau ruang legar yang menempatkan kedai-kedai dan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum meninjau ke laluan pejalan kaki untuk ke pintu keluar ke Singapura.

“Saya kemudian ke bahagian pasport autogate, imigresen, sistem pengimbas kastam, bahagian motosikal yang menggunakan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) dan bas.

“Saya turut berjumpa dengan pengguna perkhidmatan awam di BSI dan para petugas serta melihat sendiri bahagian laluan bas serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbit,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Fadillah berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak berkuasa berkaitan yang membantu melancarkan tinjauan mengejut pada jam 4.15 pagi itu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *