SPM 2023: Fizik, Matematik Tambahan Antara 66 Subjek Tunjuk Peningkatan

Para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menjawab kertas peperiksaan dengan hasil peningkatan dilihat dalam mata pelajaran Fizik dan Matematik Tambahan. Foto Arkib

PUTRAJAYA, 27 Mei – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menyaksikan peningkatan prestasi 66 daripada keseluruhan 95 mata pelajaran ditawarkan, manakala 25 lagi menurun dan empat pula tidak berubah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memaklumkan bagi mata pelajaran teras, Bahasa Melayu mencatat prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.86 mata, di samping Pendidikan Moral mempamerkan peningkatan prestasi tertinggi 0.20 mata.

Para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menjawab kertas peperiksaan dengan hasil peningkatan dilihat dalam mata pelajaran Fizik dan Matematik Tambahan. Foto Arkib

Seterusnya, beliau berkata, sebanyak 50 daripada 70 mata pelajaran elektif menunjukkan peningkatan prestasi, 19 menurun dan satu kekal seperti keputusan SPM 2022.

“Kesemua empat mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi kategori Sains Tulen dan Matematik membabitkan subjek Fizik, Matematik Tambahan, Biologi serta Kimia menunjukkan peningkatan.

“Fizik mencatat peningkatan prestasi tertinggi, iaitu 0.22 mata, dan turut menjadi mata pelajaran yang merekodkan prestasi terbaik dalam kumpulan mata pelajaran itu dengan GPMP 4.15 mata,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Azman berkata jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

“Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).

“Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 hari ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *