Rujuk Persoalan Undang-Undang, Pendakwaan Kemuka Rayuan Terhadap Na’imah

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.
KUALA LUMPUR, 23 Sep – Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Na’imah Abdul Khalid yang sebelum ini berjaya dalam permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang dalam kes gagal isytihar aset.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy hari ini.
“Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan (di Mahkamah Rayuan) itu pada 27 Ogos lalu,” katanya.
Pada masa sama, pendakwaan turut memohon supaya prosiding rujukan persoalan undang-undang berkenaan di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara rayuan berkenaan didengar dan diputuskan.
Menurut Wan Shaharuddin, dalam prosiding hari ini, pihak-pihak sepatutnya berhujah mengenai prosiding penangguhan hari ini, namun pendakwaan memaklumkan pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menjawab afidavit Na’imah yang difailkan pada Jumaat lalu.
Sementara itu, peguam Na’imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, berkata, pihaknya sudah bersedia untuk meneruskan dengan pendengaran permohonan penangguhan kerana perkara itu tidak membabitkan fakta sebaliknya hanya persoalan undang-undang.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 8 Oktober ini untuk mendengar permohonan penangguhan sebelum mendengar prosiding merumuskan persoalan yang akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 21 Ogos lalu, Na’imah, 68, berjaya dalam permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung tuduhan berkaitan pengisytiharan harta.
Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.
Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama.
Harta itu membabitkan Ilham Tower Sdn. Bhd., Ilham Baru Sdn. Bhd., dua Mercedes-Benz, lapan hartanah, sebuah kediaman di Bukit Tunku, enam bangunan, lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

