PL: Newcastle Akui ‘Tempang’ Ketiadaan Isak

Eddie Howe mengakui jentera serangan Newcastle United tempang tanpa kelibat Alexander Isak yang memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) bersama Liverpool pada musim perpindahan baru-baru ini. Foto Newcastle United

NEWCASTLE, 23 Sep – Eddie Howe mengakui pasukannya, Newcastle United bergelut musim ini tanpa kelibat bekas penyerang berbisa mereka, Alexander Isak yang berhijrah ke penyandang juara Liga Perdana Inggeris (PL), Liverpool.

Perkara itu terbukti selepas anak buah Howe terikat 0-0 dengan AFC Bournemouth kelmarin dalam aksi liga kelima musim ini sekali gus menyerlahkan ‘ketempangan’ jentera serangan.

Ia adalah keputusan seri tanpa jaringan ketiga berturut-turut di tempat lawan buat skuad kendalian Howe, dan pengendali itu menegaskan pemain lain perlu menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan ditinggalkan Isak.

Kenyataan pertama Alexander Isak di Anfield sejurus berpindah dari Newcastle United yang mungkin mencetuskan ‘perang dingin’ hingga membuatkan The Magpies ‘koyak’ pada 2 September 2025. Foto Liverpool FC

“Tiga perlawanan 0-0 di tempat lawan untuk kami, ia sesuatu yang jarang berlaku dengan gaya menyerang kami. Saya fikir secara semula jadi kami akan menjadi pasukan yang berbeza dari segi serangan musim ini tanpa Alex,” kata Howe.

Selepas Isak berhijrah dengan yuran perpindahan 125 juta pound (RM708.1 juta), Newcastle segera mendapatkan Yoane Wissa yang dijangka terlepas aksi selama sebulan akibat kecederaan serta Nick Woltemade, yang mengetuai jentera serangan di Stadium Vitality.

“Saya fikir Nick bermain dengan sangat baik hari ini (semalam). Dia sangat berkesan dengan kawalan bola yang bagus.

Pemain Newcastle Joe Willock (kanan) mempamerkan aksi mantap ketika membenam Nottingham Forest di St. James’ Park pada 23 Februari 2025. Foto Premier League

“Tetapi kami perlu lebih mengenali gaya permainannya serta dapatkan lebih banyak pemain membantu di sekelilingnya kerana dia sangat bagus dalam aspek itu.

“Saya berharap prestasi kami terus meningkat menjadi pasukan berbeza, mudah-mudahan lebih baik, tetapi ia mungkin mengambil sedikit masa,” kata Howe.

Dari sudut positif, Howe boleh berbangga dengan empat perlawanan tanpa bolos daripada lima perlawanan musim ini, sesuatu yang bukan mudah menentang Bournemouth yang sedang dalam prestasi terbaik, walaupun mereka hanya mencatat dua percubaan tepat berbanding satu untuk Newcastle.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *