Rujuk Lapan Persoalan Bukan Untuk Kekebalan Peribadi, Ini Penjelasan PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses undang-undang akan diteruskan dan beliau akan terus melaksanakan tanggungjawabnya tanpa gangguan atau kompromi.
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan tindakannya yang membuat permohonan merujuk lapan persoalan berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman sivil.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menegaskan, permohonan itu bukan berkaitan usaha untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang.
Katanya, ia sebenarnya berkaitan dengan integriti sistem Perlembagaan negara dan keperluan memastikan bahawa jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.
“Saya kekal komited sepenuhnya kepada keluhuran undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah pemerintahan demokratik.

“Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan ‘serangan seksual’ saman sivil.
Rujukan persoalan itu berkait kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan ‘serangan seksual’ tujuh tahun lalu.
Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Hakim Roz Mawar Rozain ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dakwaan bahawa sebarang tindakan saman boleh menjejaskan keupayaan seorang Perdana Menteri menjalankan tugas eksekutif adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan.
Tambah hakim itu, permohonan Anwar tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
