‘Makcik Kiah’ Boleh Terus Guna Tong Gas Subsidi Tapi Bersyarat – Fuziah

Fuziah memberi penjelasan tentang penggunaan tong gas LPG bersubsidi bagi peniaga kecil yang mempunyai syarat tertentu iaitu maksimum tiga tong dalam satu-satu masa. Foto Facebook Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh, hari ini memberikan penjelasan mudah dan ringkas mengenai isu tong gas petroleum cecair (LPG) untuk kegunaan komersial berwarna ungu dan juga silinder gas bersubsidi.

Menggunakan analogi ‘Makcik Kiah’, merujuk kepada peniaga kecil, Fuziah dalam hantaran di Facebook berkata, peniaga kecil masih boleh menggunakan tong LPG bersubsidi yang berwarna hijau.

Beliau berkata, namun syaratnya, peniaga kecil itu tidak boleh menggunakan lebih daripada tiga tong LPG bersubsidi seberat 14kg pada satu masa dengan jumlah maksimum berat silinder gas adalah 42kg.

“Makcik Kiah tak perlupun guna tong purple (ungu). Masih ada yang keliru, jadi biar saya jelaskan dengan mudah. Peniaga kecil macam Makcik Kiah masih boleh guna tong gas hijau (subsidi).

“Syaratnya, tidak lebih daripada tiga tong gas 14 kg pada satu masa. Ini bermakna, kalau Makcik Kiah guna satu tong untuk goreng pisang, satu untuk mee, satu untuk air, Makcik Kiah masih layak guna tong hijau bersubsidi.

“Tak perlu tukar ke tong purple,” katanya.

Sejak 1 Mei lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan Ops Gasak bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan tong LPG bersubsidi khususnya membabitkan industri berskala sederhana dan besar.

Selain itu, ia bertujuan membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram decanting iaitu pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.

Pada masa sama, Fuziah mengingatkan semua pihak supaya tidak menakutkan rakyat dengan maklumat kurang tepat kerana kerajaan akan terus memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak.

Fuziah mengingatkan semua pihak supaya tidak menakutkan rakyat dengan maklumat kurang tepat kerana kerajaan akan terus memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak. Foto Facebook Fuziah Salleh

“Tong gas ‘purple’ (tanpa subsidi) hanya diwajibkan kepada pengguna industri dan komersial berskala besar seperti restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya.

“Jadi, janganlah kita takut-takutkan rakyat dengan info kurang tepat. Yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak dan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana,” katanya.

Sebelum ini, terdapat maklumat kurang tepat dimuatnaik di Facebook yang mendakwa peniaga kecil akan terbeban dengan penggunaan tong gas tanpa subsidi.

KPDN sebelum ini juga menafikan dakwaan semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong LPG bersubsidi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *