RON95 RM1.99 Seliter: Penerima STR Terima Manfaat Bermula 28 September – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 22 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 22 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menikmati harga RON95 sebanyak RM1.99 seliter bermula lebih awal iaitu pada 28 September 2025 menerusi inisiatif BUDI95.

Perdana Menteri berkata, bagi bukan warganegara pula, RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.

Langkah ini bertujuan memastikan proses penyaluran subsidi berkenaan dilakukan dalam tempoh percubaan selama dua hari sebelum seluruh rakyat Malaysia menikmati kadar berkenaan bermula 30 September 2025.

Difahamkan, lebih 16 juta rakyat Malaysia akan menerima manfaat daripada penurunan harga petrol RON95 dengan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk menikmati subsidi bahan bakar itu.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan warga polis, tentera nikmati subsidi RON95 RM1.99 seliter bermula 27 September bagi mengelakkan kesesakan serta langkah percubaan sama seperti penerima STR.

Beliau berkata subsidi RON95 akan dinikmati tanpa mengambil kira tahap pendapatan, sebagai penghargaan kepada semua rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *